Assalamualaikum Dan Selamat Datang... Blog ini terbuka untuk kritikan dalam usha untuk menambah baik..

Selasa, 27 Oktober 2009

Aziz Bari Menulis Lagi


Pas takkan Pecah.

Oleh Prof Abd Aziz Bari

Saya menyinggung politik dalam Pas kerana saya melihat parti ini penting dalam Pakatan Rakyat. Dan Pakatan pula penting dalam politik baru Malaysia. Seterusnya politik baru ini kritikal dalam membina sistem dua parti yang akan menentukan sama ada perlembagaan kita dapat diperkasakan atau terus dimanipulasi untuk kepentingan politik sebagaimana yang kita saksikan selama ini.

Sesiapa yang menafikan bahawa perlembagaan telah dikembirikan selama 52 tahun ini adalah jahil dan menipu dirinya sendiri. Selain tindakan UMNO, istana dan mahkamah dalam krisis politik di Perak apa yang dilakukan sejak merdeka juga sebenarnya telah menghambat perkembangan kemerdekaan. Jika ada yang tidak percaya silalah teliti laporan Suruhanjaya Reid dan draf yang mereka sediakan dan bandingkan dengan dokumen perlembagaan yang ada hari ini. Kaji juga keputusan-keputusan mahkamah sejak merdeka.

Memang Pakatan belum tentu tidak jadi macam Barisan Nasional. Tapi saya fikir kita perlu realistik dan beri mereka peluang. Jika mereka gagal kita akan letakkan kembali Barisan di tempatnya sekarang. Dalam sistem demokrasi yang kita amalkan ini sahaja cara yang kita boleh lakukan.

Inilah gambar besar yang kita harus perhatikan. Bukan soal remeh temeh yang para pencacai politik cuba paparkan dalam blog-blog mereka. Apakah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah nyanyuk dan menyusukan kera di hutan tidak relevan. Begitu juga dengan mereka yang cuba menonjolkan betapa Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi mangsa dan perlunya orang baik ini dipertahankan.

Rakyat yang sedar kepentingan negara tidak bicara soal individu. Kita bicara soal arah dan masa depan negara. Tentang perlunya sistem negara ini diperbetulkan. Proses ini sudah pasti panjang dan berliku. Apa yang berlaku dalam Pas adalah salah satu daripada mata rantainya. Proses sama sudah bermula dalam PKR. Ini baik. Tak perlulah kita bertengkar tentang namanya. Kalau nak kata krisis pun katalah. Yang penting ia ubat yang akan menyembuhkan penyakit-penyakit yang ada.

UMNO baru sahaja mendapat suntikan baru dan ia pastinya tak senang dengan perkembangan itu. UMNO mahu Pas terus kekal dengan bisul yang sekarang cuba diubati oleh Nik Aziz. Sebab itu media miliknya ramai-ramai mengatakan bahawa krisis Pas dan PKR itu adalah tanda bahawa musuh ketat mereka sudah mula buang tabiat. Sebagaimana orang Pas dan PKR mengejek pergelutan dalam UMNO. Sebagai rakyat yang prihatin kepada hidup mati negara kita tidak harus terjebak dengan gelagat dan permainan ahli-ahli politik seperti mereka. Kita perlu fokus kepada gambar besar tadi. Kita perlu lupakan soal-soal yang tidak wujud dan remeh seperti kedudukan dan perpaduan Melayu, Islam dan macam-macam lagi. Lagipun sejak bila yang UMNO prihatin sangat dengan Melayu dan Islam ini?

Gambar besar yang dikatakan tadi merujuk kepada imej Pas dan ini berkait dengan persepsi rakyat kepada parti itu. Dalam senario dan landskap yang ada sekarang Pas cuma boleh mendapat sekitar 40 peratus undi Melayu. Ini bermakna ia perlu mengekalkan sokongan bukan Melayu jika hendak mengekalkan kedudukannya sekarang. Ini bukan soal menjual maruah Melayu dan Islam. Sebaliknya ia adalah cabaran kepada Pas bagaimana hendak menjelaskan konsep-konsep negara kebajikan dan Pas untuk semua yang telah dimulakannya. Abdul Hadi gagal di sini. Atau memang tidak mampu. Dalam keadaan sebegitu dia dan kawan-kawannya sembunyi-sembunyi berkira dengan UMNO.

Kita tak peduli apa namanya. Kita juga tak peduli sama ada mereka masih lagi meneruskannya atau tidak. Yang jelas aktiviti itu telah membolehkan UMNO memberikan ciuman maut buat Pas dan sekarang virusnya merebak dalam parti. Ia menyebabkan syak wasangka dan menimbulkan kemarahan bukan Melayu. Abdul Hadi dan kumpulannya perlu ingat bahawa UMNO mahu memujuk bukan Melayu dan sekiranya Pas boleh digambarkan berada bersamanya itu sudah cukup baik. Dalam keadaan itu hanya tinggal DAP dan PKR sahaja yang perlu ditangani.

Imej Pas sudah tercalar dan Nik Aziz sebagai seorang pemain yang licik dapat menghidunya. Abdul Hadi dan kawan-kawannya semacam terlupa siapa yang mengundi mereka dalam PRU ke 12. Jika tidak masakan Datuk Dr Hassan Ali terus berdegil dan cuba menjaringkan gol sendiri! Saya sudah beritahu bahawa beliau boleh lakukan apa yang dibuatnya itu. Tapi kenalah letak jawatan dan jadi penyokong kerajaan sahaja.

Sehingga ini nampaknya usaha Nik Aziz belum disekat secara rasmi meskipun ada suara-suara yang mempersoalkan. Tak kiralah apa cara dan namanya. Muktamar khas atau sekadar mesyuarat majlis syura atau mesyuarat jawatankuasa agung membincangkan isu itu. yang penting persepsi rakyat diperbetulkan sebelum pilihan raya kecil yang akan dating. Dalam senario politik yang ada sekarang pastinya UMNO gian hendak bertanding. Saya fikir orang Pas dan Pakatan takut sekarang. Saya dapat tahu Nasrudin Hassan ada berkata tidak takut berlengan di Bagan Pinang. Tetapi inikah jenis kepemimpinan yang hendak kita pamerkan?

Oleh kerana isu besar yang hendak ditangani berkait dengan imej dan persepsi saya fikir elok Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pecat Hassan Ali dari kerajaan kerana kesalahannya cukup besar dan cukup jelas: melanggar perlembagaan negara dan negeri. Memang ini tak pernah dilakukan oleh UMNO Barisan. Tetapi inilah yang hendak ditunjukkan; yakni bahawa Pakatan serius dalam mendaulatkan perlembagaan yang menjadi tunjang dan nadi kepada demokrasi dan apa sahaja yang bersifatkan merakyatkan di negara ini. Saya tak fikir ada siapa yang boleh menghalang. Lagipun bukankah telah ada ketetapan yang menyekat gelagat seperti yang dilakukan oleh Hassan Ali itu? Di sisi undang-undang itu kuasa mutlak Khalid. Kalau Khalid tidak buat dia boleh dipersalahkan kerana tidak menjunjung perlembagaan.

Berbalik kepada Pas Datuk Seri Azizan Razak dikatakan tidak berminat. Mungkin itu cara orang politik: malu tapi mahu. Lagipun takkan dia hendak kata mahu. Pas perlu paksa Azizan. Lagipun dalam parti ramai yang kuat-kuat dan bertenaga. Khalid Samad contohnya. Dan ramai lagi.

Oleh sebab yang menjadi masalah ialah imej maka mereka yang terpalit dengan imej-imej yang negatif itu kenalah berundur. Ini bukan soal sudah tak buat kerja itu atau sudah bertaubat. Yang penting imej parti sudah rosak dan dalam politik hukumannya ialah letak jawatan dan beri laluan kepada orang lain. Saya tahu orang Pas ada yang marah. Tetapi mereka kena fikir bahawa itulah risiko yang perlu diambil apabila parti dirakyatkan. Dahulu mereka ejek UMNO. Sekarang baru mereka tahu susahnya mentadbir parti yang besar. Apa yang menjadi masalah sekarang ialah ada orang Pas yang berfikir seperti zaman Pas masih parti kecil dahulu. Mereka inilah yang gagal meletakkan keutamaan. Bagi mereka yang berfikiran sempit ini apa sahaja cadangan untuk memperbaiki parti akan dilihat sebagai agenda anasir UMNO yang menyusup ke dalam parti.

Apakah Pas akan pecah? Saya tak fikir begitu. Dan saya tak fikir saya yang kerdil ini boleh menggoncang Pas. Lainlah kalau Pas ini harimau kertas. Sejarah politik ini cukup jelas bahawa parti serpihan tak lama. Pas bukan parti serpihan. Kalau pemimpin tertentu disingkirkan pun saya tak fikir akan ada yang ikut. Mungkin mereka akan merajuk beberapa hari. Lepas itu mereka akan balik. Kalau dalam UMNO pun begitu apalagi dalam Pas. Lagipun para pemimpin bermasalah yang disebut oleh Nik Aziz itu bukan hero; kebanyakannya sakit nak menang pilihan raya. Jadi kalau letak jawatan atau disingkirkan pun tidak akan ada kesan pada parti. Orang Pas tak perlulah percaya ramalan dan analisis media UMNO.

Ada juga yang mempersoalkan tidakkah penyingkiran bermakna membelakangkan keputusan perwakilan muktamar yang membuat pemilihan? Saya fikir ini tidak timbul kerana kita bukan mempertikaikan keputusan pemilihan. Kita mengatakan ada di antara yang terpilih telah gagal. Dan kita cadangkan supaya diminta berhenti atau letak jawatan. Kalau Pas berdegil dan tidak mahu membuat anjakan tunggulah keputusan rakyat nanti.

Apakah perubahan drastik itu semestinya menyelesaikan kelesuan? Kita tidak tahu. Tetapi apa yang penting sesuatu perlu dilakukan kerana jika Pas tidak berbuat apa-apa ia telah melakukan dua kesalahan; yakni sudah sedar ada sesuatu yang tak kena tetapi tidak berbuat apa-apa. Apa pun pemimpin baru itu akan diadili juga. Tidakkah kita beroperasi dalam sistem demokrasi?

Bajet 2010: Rakyat Mana diutamakan
















Isnin, 26 Oktober 2009

Mengapa Beriaya-riya Tok Guru Nak EGM?

MENURUT Editor Blog JiwoKelate, cadangan Muryidul Am PAS akan diputuskan oleh selepas Mesyuarat Khas PAS Pusat pada hari Rabu (28 Oktober 2009), kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di Lobi Parlimen hari ini.

Kenapa beriya-iya sangat Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz nakkan PAS adakan EGM bagi menentukan hala tuju perjuangan, mungkin ada maklumat sulit yang diketahuinya tidak diketahui oleh ahli-ahli di bawah.

Berita di bawah mungkin ada benarnya kerana Presiden Umno, Najib Razak membuat pengakuan bahawa ada satu kumpulan dalam PAS yang benar-benar ingin mengadakan kerjasama dengan Umno dan satu kumpulan lagi yang menentang hasrat tersebut.

PAS berpecah kepada dua: Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata percanggahan dalam PAS nampaknya sudah sampai ke kemuncak dan semakin serius sehingga timbul dua kumpulan dalam parti itu.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata satu kumpulan mahu bekerjasama dan mewujudkan persefahaman dengan UMNO dalam bentuk yang sesuai manakala satu lagi menentangnya.

“Ada pihak yang lebih mementingkan politik daripada ummah. Kita hargai pihak yang melihat Umno sebagai mewakili orang Melayu, berjasa dalam perjuangan ummah dan menjaga kepentingan kaum-kaum lain,” katanya pada sidang media selepas tamatnya Sidang Kemuncak Asean ke-15 di sini.

Najib berkata percanggahan dalam PAS nampaknya semakin serius berikutan hasrat Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengadakan Muktamar Agung Khas PAS untuk membersihkan parti daripada pemimpin-pemimpin yang bermasalah.

Menurut Perdana Menteri ada kumpulan dalam PAS yang tidak mahu bekerjasama dengan Umno untuk menegakkan kepentingan orang Melayu dan Islam semata-mata kerana kepentingan politik mereka.

Pihak ini, kata beliau tidak menghargai jasa Umno dalam mewakili kepentingan orang Melayu dan menjaga perpaduan ummah.

Katanya terdapat sekumpulan pemimpin dalam PAS pula yang berhasrat untuk mencari pendekatan yang boleh membawa kepada perpaduan ummah, mirip kepada bekerjasama.

“Apa bentuk tak tahu… maknanya tak mahu perpecahan. Satu lagi kumpulan mahu perbalahan berterusan dan tiada pertimbangan apa-apa untuk perpaduan,” kata beliau.

Ditanya sama ada ada Umno akan mengadakan perbincangan dengan PAS, Najib berkata selagi PAS tiada kata sepakat, Umno tidak boleh mengadakannya secara rasmi.

“Kita tunggu dan lihat perkembangan dalam PAS,” katanya, sambil menambah kata, bahawa sebarang perbincangan tidak akan membuahkan hasil jika diadakan dengan wakil tertentu sahaja dan bukan keseluruhan parti itu. –BERNAMA

Manakala hari ini pula seperti yang dilaporkan Sinar Harian melaporkan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata parti itu tidak akan mengadakan Muktamar Khas (EGM) seperti yang dicadangkan Mursyidul Am sebelum ini.

Sebaliknya akan mengadakan Mesyuarat Khas PAS Pusat bagi membincangkan isu parti, dan telah dipersetujui Mursyidul Am itu sendiri selepas mengadakan pertemuannya dengannya dua hari lepas.

Kita tunggulah apa keputusan Mesyuarat Khas PAS nanti. (Jiwo Kelate/2MA)

Semua Tak Nak Mengakui Pro UMNO

Kini semua dah tak nak mengaku dia pro atau fraksi UMNO dalam PAS.

Dulu merekalah paling sibuk mengaturkan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin UMNO untuk membentuk Kerajaan Perpaduan. Mereka melakukan di dalam gelap, mereka melakukan di belakang pengetahuan ahli-ahli PAS. Mereka melakukan tanpa restu Mursyidul Am PAS. Malah mereka berani menafikan adanya pertemuan itulah sehinggalah ianya didedahkan sendiri oleh Abdullah Ahmad Badawi, Presiden UMNO ketika itu.

Yang istiqamah dengan Pakatan Rakyat hanyalah Mursyidul Am PAS ketika itu. Sedangkan pemimpin tertinggi kenanyakannya, cuba menyembunyikan pertemuan sulit tersebut dengan pelbagai penafian dan apabila didedahkan oleh Abdullah Ahmad Badawi, muka mereka terpalit najis, berkluk-klek membuat penjelasan dan kemudian menuduh pula kononnya ahli-ahli PAS tidak banyak membaca mengenai Kerajaan Perpaduan.

Diharamkan tulisan Tuan Guru Nik Aziz daripada tersiar di Harakah, dipadamkan tulisan Dr Dzulkefli Ahmad mengenai penolakan mengenai Kerajaan Perpaduan, ditukarkannya Ketua Penyunting Harakah kepada yang boleh menjadi Pak Turut mereka, dipecatnya Khalid Samad dan Saari Sungip dari Dewan Harian PAS Selangor, diusir DJ radio TKO.fm kerana lantang tidak menyetujui gagasan Kerajaan perpaduan di dalam siarannya dan beberapa langkah lain diambil sebaik saja Mustafa Ali dilantik menjadi Setiausaha Agong PAS yang baru.

Selepas tersepit dengan isu itu, diarahkan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin untuk mengeluarkan kenyataan akan diambil tindakan kepada sesiapa yang masih membicarakan soal Kerajaan Perpaduan.

Ahli-ahli PAS sekalian cuba diperbodohkan. Cuba dipermainkan setelah amanah yang diberikan, telah cuba mereka khianati.

KINI, apabila timbul semula isu tersebut, fraksi UMNO dalam PAS macam cacing kepanasan. Anehnya, tidak ada seorang mahu mengaku mereka pro atau fraksi UMNO. Masing-masing bersuara untuk menjadi jaguh perjuangan Pakatan Rakyat. Kononnya!


Kebenaran itu tetap terpahat sekalipun mulut-mulut mereka cuba memadam perbuatan-perbuatan curang mereka yang telah memecah-belahkan jemaah sebelum ini.

Allah pasti menyelamatkan parti ini dari mereka yang bermuka-muka, dari mereka yang pemalas, dari mereka yang belum mengakui perbuatan jalang mereka yang telah menyebabkan Pakatan Rakyat hampir kecundang di Manek Urai dan telah kalah di Bagan Pinang.

Kita sekali lagi mencabar mereka supaya MENAFIKAN bahawa mereka pernah membuat pertemuan dengan pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Jika tidak, mereka perlu meminta maaf kepada sekalian ahli PAS lantaran pengkhianatan yang dilakukan sebelum mereka dibalas sendiri oleh Allah s.w.t. - Empunya jemaah ini.

Khamis, 22 Oktober 2009

Terima kasih Prof Aziz Bari atas kritikan anda

Mohamed Hanipa Maidin


PENDAPAT

Saya boleh memahami betapa marahnya Ustaz Idris Ahmad terhadap tulisan Dr Aziz Bari di dalam Sinar Harian bertarikh 19/10/2009 ('Pengajaran dari Bagan Pinang'). Saya percaya Ustaz Idris tidak bermaksud memperkecilkan kehebatan Prof Aziz Bari yang kita tahu seorang Profesor yang bukan sahaja mendalam ilmunya tetapi amat berani dan lantang menyatakan kebenaran.

Kekerasan sahabat saya Ustaz Idris Ahamd menyanggah tulisan Dr Aziz Bari bagi saya mungkin terbit dari keletihan beliau berkempen secara intensif di Bagan Pinang.

Sudahlah penat berkempen dan berhadapan pula dengan samseng-samseng Umno dan seterusnya mengalami kekalahan yang besar tiba-tiba Dr Aziz Bari pula mengkritik PAS.

Tidak dinafikan saya rasa bukan sahaja Ustaz Idris malahan mungkin ramai juga pemimpin PAS yang lain yang turut berkongsi sentimen seperti Ustaz Idris.

Saya juga pemimpin PAS Pusat. Namun saya tidak sama sekali marah jauh sekali melenting dengan teguran dan kritikan Prof Aziz Bari. Malahan sebagai pemimpin PAS saya benar-benar berterima kasih dengan teguran dan kritikan beliau.

Image Saya yakin tulisan beliau tidak mempunyai unsur mala fide (niat jahat). Tulisan tersebut, bagi saya, lahir dari hati suci beliau untuk melihat supaya PAS membuat koreksi diri agar tidak kecundang dalam pilihan raya yang akan datang.

Tulisan itu saya yakin lahir dari satu pengamatan beliau yang amat panjang tentang beberapa insiden yang berlaku dalam PAS yang diketahui umum.

Pemimpin gerakan Islam Al-Nahdah, Tunisia yang kini hidup dalam buangan di London, Rashid Ghanouchi pernah menyatakan di dalam satu tulisannya bahawa kesilapan paling besar gerakan Islam ialah adalah ketidaksediaan atau keberatan untuk bermuhasabah dan dimuhasabah.

Orang bijaksana berkata kawan yang sebenar adalah kawan yang sudi menegur kita jika dia melihat kita melakukan kesilapan. Kawan yang buruk pula adalah kawan yang hanya mendiamkan diri malahan menyokong pula meskipun dia tahu kita melakukan kesilapan.

Saya tidak kata tulisan Dr Aziz Bari adalah sempurna dan saya juga yakin beliau juga tidak berpendapat teguran dan kritikan beliau adalah sempurna. Tidak dinafikan kenyataan beliau bahawa "Hasan (Hasan Ali) dilihat mewakili golongan yang pro-UMNO dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokonng mereka" agak menyenakkan sesetengah pemimpin PAS.

Namun jika kita melihat dari perspektif lain, salahkah jika Dr Aziz Bari sebagai pihak di luar PAS mempunyai persepsi sebegitu.

Politik, orang kata adalah berkaitan persepsi. Saya percaya bukan sahaja Dr Aziz Bari malahan ramai lagi rakyat Malaysia yang lain yang juga mempunyai persepsi seperti Dr Aziz Bari iaitu persepsi bahawa sesetengah pemimpin PAS adalah pro Umno.

Kerana kesan bahaya persepsi sebegitulah yang menyebabkan Muktamar PAS berhempas pulas membuat ketetapan dan penegasan bahawa PAS tidak akan ada hubungan dengan Umno dan akan terus bersama Pakatan Rakyat. Kalau kita tidak mahu dilihat dan dikritik pro Umno janganlah buat perkara-perkara yang menyebabkan orang ramai membuat tanggapan bahawa kita adalah pro Umno.

Adakah persepsi lahir begitu sahaja? Salah ke jika orang-orang di luar PAS mempunyai persepsi sebegitu setelah mereka melihat apa yang berlaku di dalam PAS � melalui tindak tanduk, kenyataan dan gelagat sesetengah pemimpin PAS.

Bagi saya sudah sampai masanya pemimpin PAS, mengambil istilah kata Khairy Jamaluddin, keluar dari 'siege mentality' (mentaliti terkongkong). Sila lihat di luar sana, orang ramai sedang memerhatikan kita !!!

Salahkah kita menjadi pendengar yang baik (good listener) demi kebaikan parti yang kita sayangi ini.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Aziz Bari. Prof, percayalah bagi saya kamu adalah sahabat yang sejati.

--------------------

(Penulis adalah AJK PAS Pusat yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS)_


Ahad, 11 Oktober 2009

Tv Kelantan

Tafsir Al-Quran

Listen to Quran

24 peratus mengundi sehingga 10 pagi


Okt 11, 09 8:12am
12.10pm: Beberapa penyokong parti yang bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang dilaporkan ditahan selepas berlaku satu pergaduhan di luar SK Teluk Kemang.

11.35am Insiden membaling batu dan botol air mineral berlaku di pusat pengundian di SK Teluk Kemang pada kira-kira jam 11.20 tadi. Bagaimanapun, anggota polis berjaya mengawal dan meredakan keadaan antara penyokong BN dan PAS.

11.20am Sebanyak 35.7 peratus pemilih biasa di Bagan Pinang keluar mengundi sehingga jam 11 pagi ini dalam pilihanraya kecil DUN tersebut. Pengundian bermula jam 8 pagi hingga 5 petang ini.


11am Calon BN, Tan Sri Isa Samad beredar dari Sekolah Bradwell di tengah laungan 'rasuah' oleh pemimpin PAS.

Isa berkata, peluang untuk beliau menang adalah cerah.

Ketika menemui seorang pengundi India, Isa berkata: "Jangan lupa dacing".

10.20am Seramai 2,168 atau 23.9 peratus pemilih biasa di Bagan Pinang keluar mengundi sehingga jam 10 pagi ini dalam pilihanraya kecil DUN tersebut. Pengundian bermula jam 8 pagi hingga 5 petang ini.

10.15am Calon BN, Tan Sri Isa Samad tiba di Ladang Siliau dan berjalan sejauh kira-kira 150 meter dari jalan utama ke pusat pengundian. Penyokong PAS di situ mua melaung menyindirnya berhubung isu politik wang.

10.10am Keadaan pusat pengundian di SK Panglima Adnan riuh rendah dengan penyokong BN dan PAS melaung antara satu sama lain. Kira-kira 5,000 orang berhimpun di situ. Beberapa penyokong Pemuda Umno kelihatan membaling botol air mineral melintasi jalan ke arah tempat penyokong PAS berhimpun.

9.30am Calon PAS, Zulkefly Mohd Omar tiba di SK Panglima Adnan, dengan diiringi ahli-ahli parti itu yang memakai baju dengan logo PAS. Beliau yakin mampu menang dan menggesa pengundi supaya keluar mengundi.

Sebelum itu, proses pengundian pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang bermula sebaik sahaja pusat-pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi ini.

Hujan turun awal pagi tetapi berhenti sejurus selepas jam 8 pagi. Bagaimanapun, hujan renyai turun semula kira-kira 40 minit kemudiannya.

Terdapat 13,994 pemilih, termasuk 4,604 pemilih pos, yang layak mengundi dalam pilihanraya kecil kali ini.

Pengundi pos telah selesai membuang undi dua hari lalu, manakala pengundi biasa seramai 9,060 orang, akan membuat pilihan mereka hari ini di lapan pusat pengundian yang melibatkan 18 saluran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan kira-kira 80 peratus daripada pengundi akan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Sabtu meminta petugas BN supaya menanggalkan jaket dan menutup payung mereka yang mempunyai logo parti.

Menurutnya, tempoh kempen tamat tengah malam tadi, maka tiada lagi bahan kempen seperti baju dan payung boleh digunakan hari ini.

Pilihan raya DUN Bagan Pinang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Tan Sri Isa Samad dengan calon PAS, Zulkefly Mohd Omar.

Kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya dari BN, Azman Mohammad Noor, pada 4 September lalu. Azman mengekalkan kerusi tersebut, dengan menewaskan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Polis telah menasihatkan pengundi khususnya supaya mematuhi arahan anggota pasukan itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas, yang dijangka sesak berikutan kehadiran pelawat yang berkunjung ke pantai peranginan di situ pada hujung minggu.

Pengundian akan ditutup pada pukul 5 petang dan diikuti dengan pengiraan undi di kesemua lapan pusat mengundi terbabit.

Penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan MPPD dan keputusannya
dijangka dapat diketahui seawal pukul 8 malam ini.

8.51am Sekumpulan Pemuda Umno melaung kepada Pemuda PAS, sesiapa yang mahu arak, pergi ke Selangor.

8.50am
Hujan renyai-renyai mulai turun di Teluk Kemang.

840am Hujan turun renyai-renyai semula di pusat mengundi SJK (T) ladang siliau.

8:25am Kira-kira 150 penyokong PAS berkumpul di luar sekolah kebangsaan Teluk Kemang untuk merayu undi. Beberapa orang pemandu kereta menunjukkan "tanda bagus" kepada penyokong PAS, dan penyokong membalas dengan laungan "Allahu Akbar".

8.20am Pemuda Kg Bagan Pinang menjerit "Anwar Rasuah" "Take Beer" dan "bapa rasuah". Ia sebagai membalas laungan penyokong PAS yang melaungkan "BN Rasuah". Kedua-dua penyokong melaung "Allahu Akhbar".

Kira-kira 100 penyokong PAS dan BN berkumpul di SJK (T) Ladang Siliau. Polis memantau keadaan. Langit kelihatan cerah, selepas hujan gerimis di sebelah pagi berhenti.

Kira-kira 100 penyokong PAS berhimpun di luar SK Telok Kemang dalam usaha terakhir merayu undi. Beberapa kereta yang lalu di situ membunyikan hon dan menunjukkan tanda sokongan. Penyokong PAS membalas balik dengan laungan 'Allahu Akhbar'.

8.05am Penyokong-penyokong PAS berdoa di luar pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil ladang Siliau dalam Pekan Siliau.

8.00am Pengundian di Bagan Pinang bermula. Kira-kira 300 penyokong BN dan Pakatan Rakyat berkumpul di sepanjang jalan di pusat mengundi di Kg Bagan Pinang. Hujan yang turun sebentar tadi menyebabkan, ramai penyokong membuka payung masing-masing.

7.25am
Polis mulai membuat sekatan di beberapa kawasan.

7.17am Hujan mulai turun seperti hari penamaan calon. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff berkata ramalan cuaca hari ini dijangka hujan disebelah pagi, tidak seperti dua hari sebelum ini yang kelihatan cerah.

Ahad, 4 Oktober 2009

Sabtu, 3 Oktober 2009

Bagan Pinang: Pertandingan satu lawan satu BN-PAS









10.23am:
HPilihanraya kecil DUN Bagan Pinang akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Tan Sri Isa Samad dengan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar.

Pengumuman itu dibuat oleh pegawai pengurus pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang Abdul Wahab Shamsuddin

11am: Masa bantahan tamat

10.14am: Hanya calon BN, Tan Sri Isa Samad dan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar yang menyerahkan borang pencalonan. Tempoh serah borang pencalonan tamat jam 10 pagi.

Sebelum ini, Shahruddin tidak dapat menyerahkan kertas pencalonannya kepada penyokong bukan orang tempatan.

10.am: Ketegangan meningkat apabila kelihatan penyokong membaling botol air dari sebelah BN. Penyokong Pakatan Rakyat menjerit kepada pihak polis supaya mengambil tindakan.

9.42am: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa matlamat PAS adalah untuk menang bukan setakat mengurangkan majoriti BN di Bagan Pinang.

"Kita mahu menang," katanya kepada pemberita. Menurutnya, majoriti dalam pilihanraya umum 2008 adalah 2,000 lebih undi. Jadi tidak mustahil untuk pembangkang menang kali ini.

Bagaimanapun, beliau mengaku persaingan di Bagan Pinang adalah sengit bagi PAS, tetapi beliau yakin boleh menang.

9.40am: Penyokong kedua belah pihak semakin meningkat dan jumlahnya dianggar sama banyak.

9.33am: Calon bebas, Shahruddin Abdul Hamid keluar dari pusat penamaan calon selepas mendapati penyokongnya bukan dari Bagan Pinang. Pencadang penduduk Bagan Pinang.

9.31am: Keadaan menjadi agak tegang apabila penyokong kedua belah pihak bergerak hampir satu sama lain. Penyokogn BN dan Pakatan terus melaung antara satu sama lain. Polis cuba meredakan keadaan.

9.20am: Ketegangan meningkat. Kira-kira 50 anggota polis pencegah rusuhan membuat benteng antara penyokong BN dan Pakatan. Namun mereka terus melaung antara sama sama lain.

9.17am: Calon bebas, Shahruddin Abdul Hamid (foto bawah) memasuki pusat penamaan calon untuk menyerahkan pencalonannya.

9.16am: Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Dr Hatta Ramli ke kemah BN untuk bersalaman dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Hassan.

Kelihatan pemimpin utama yang kelihatan berada dalam kemah BN termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Presiden PPP, Datuk M Kayveas, dan pemimpin utama Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Rais Yatim, Datuk Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Mohd Ali Rustam.

9am: Calon BN, Tan Sri Isa Samad dan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar masuk ke pusat penamaan calon. Calon bebas, Shahruddin Abdul Hamid belum kelihatan. Di luar, penyokong BN menyanyikan lagu 'Inilah barisan kita' manakala penyokong Pakatan melungkan 'rasuah, hidup rakyat dan hancur BN".

8.56am: Penyokong Pakatan seramai kira-kira 5,000 berkumpul di pintu masuk pusat penamaan calon, sambil melaung "julung rakyat, hancur BN, hancur ISA, hidup rakyat".

8.55am: Penyokong BN tiba di pusat penamaan calon. Mereka dipisahkan kira-kira 100 meter dari penyokong PAS.

8.45am: Penyokong BN dianggarkan seramai 3,000 mula bergerak ke pusat penamaan calon sejauh 1km. Hujan telah berhenti, tetapi orang ramai sudah basah lencun.

8.40am Hujan lebat menyebabkan orang ramai lari berlindung di bawah khemah yang disediakan di pusat penamaan calon. Ada yang menggunakan payung dan sesetengahnya menggunakan kain rentang untuk berlindung dari hujan.

8.30am: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin sudah sampai bersama calon BN, Tan Sri Isa Samad untuk bergerak ke pusat penamaan calon. Hujan mula turun

Manakala penyokong Pakatan sudah sampai ke pusat penamaan cal0n di pejabat daerah Port Dickson.

8.23am: Penyokong Pakatan mula bergerak ke pusat penamaan calon di pejabat daerah Port Dickson. Mereka melaung slogan "Tolak tolak rasuah, undi undi undi Islam" dan "Mansuhkan ISA".

Ada penyokong yang memakai baju-T bertulis "Tak Nak ISA", dipercayai merujuk kepada calon BN, Tan Sri Isa Samad.

Dengan dikawal oleh anggota unit keselamatan PAS, mereka berarak melalui kawasan perumahan menuju ke pusat penamaan calon .

Polis telah menyediakan dua tempat perhimpunan berasingan bagi penyokong Pakatan dan BN. Kedua-dua pihak juga menggunakan laluan yang berlainan menuju ke pusat penamaan calon bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

8.09am: Seorang penunggang motosikal yang memakai jaket biru BN tersilap tempat dan mendapati dirinya berada bersama sekumpulan penyokong PAS.

Dia terus dikelilingi dan diboo oleh penyokong berkenaan di hadapan Sekolah Menengah Datuk Haji Abdul Samad - tempat perhimpunan untuk penyokong Pakatan Rakyat sebelum berarak ke pusat penamaan calon di pejabat daerah Port Dickson.

Turut kelihatan di situ ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan beberapa pemimpin PKR termasuk Azmin ALi (MP Gombak) dan S Manikavasagam (MP Kapar).

Khamis, 1 Oktober 2009

Rayuan Nizar berhubung Menteri Besar yang sah pada 5 November




PUTRAJAYA - Pertikaian berhubung siapa Menteri Besar Perak yang sah dijangka didengar di Mahkamah Persekutuan pada 5 November.

Leong Cheok Keng, seorang daripada peguam Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu Bernama, firma itu telah menerima sepucuk surat bertarikh 3 September yang disakskan dari Pendaftar Mahkamah Persekutuan, di Putrajaya memaklumkan mereka bahawa mahkamah itu telah menetapkan tarikh itu untuk mendengar rayuan Mohammad Nizar.

Mohammad Nizar membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 9 Julai, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Mohammad Nizar untuk rayuan selepas responden, Zambry melalui peguam belanya Datuk Cecil Abraham dan pencelah, Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak membantah berhubung permohonan itu.

Pertikaian bagi jawatan Menteri Besar Perak, bermula selepas tiga anggota dewan undangan negeri meninggalkan pakatan pembangkang DAP- PKR-PAS, dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Februari.

Mohammad Nizar, 52, kemudian memfailkan semakan kehakiman menuntut writ "quo warranto" dikeluarkan terhadap Zambry untuk tunjuk sebab berhubung atas asas apa atau hak beliau (Zambry) adalah Menteri Besar yang sah.

Pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, tetapi keputusan itu diubah oleh Mahkamah Rayuan pada 22 Mei.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Mohammad Nizar atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan Sultan, dan sebaik seorang Menteri Besar dilantik, beliau dan Ahli Majlis Mesyuaratnya hanya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri dan tidak kepada mana-mana pihak yang lain.

Mahkamah Rayuan pula memutuskan bahawa Sultan Azlan Shah, adalah betul dalam melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru mengikut Artikel 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, selepas berpuas hati Zambry mendapat sokongan majoriti daripada Dewan Undangan Negeri Perak.

Peguam bela Sulaiman Abdullah adalah peguam utama bagi Mohammad Nizar. - Bernama
Photobucket
Template by : realaduka .blogspot.com