29/10/2009

KUALA LUMPUR, 8 Okt. | Bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Dzulkifli Ahmad menganggap resolusi yang dicapai pada Seminar Politik PAS semalam sebagai tepat dan perlu direlisasikan secara serius dan bersungguh.

Beliau yang dihubungi berkata, resolusi semalam meletakkan PAS lebih fokus merancang plan tindakan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

“Itu semestinya seperti resolusi terakhir seminar, (iaitu) merumuskan suatu plan tindakan untuk hadapi PRU13, mengekalkan sokongan (pengundi) Melayu-Islam dan melebarkan tapak sokongan yang merentas garis kaum, agama dan budaya…dengan erti kata lainnya (adalah) menjelaskan maksud dan erti Pas Untuk Semua.” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menjelaskan bahawa PAS perlu segera mempersiapkan suatu pelan kemenangan untuk dibentangkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Disember depan, sekiranya serius mahu merealisasikan resolusi seminar tersebut.

“Sebelum Konvensyen PR akan datang ini, saya mengharapkan ketika itu sudah ada satu lakaran agenda bertindak dari PAS jika serius dengan resolusi ini (seminar),” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Ujarnya lagi, pelan tersebut perlulah mengambil kira semangat bersama DAP dan PKR, yang merupakan anggota parti dalam PR.

“Jadi, kita tidak boleh lagi menekankan apa jua idea (kepentingan) kita saja. Kita perlu buat persiapan mental, bagaimana PAS boleh mengukuhkan Pakatan secara bersama (dengan PKR dan DAP),” ujarnya lagi.

Beliau juga menggesa kepimpinan PAS disemua peringkat serius melaksanakan resolusi tersebut,supaya betul betul mampu memperkukuh parti itu.

“Resolusi ini akan gagal sekiranya (PAS) tinggalkan resolusi dalam lipatan seminar… tidak ada usaha serius melaksanakan kesemua resolusi bersama secara teratur,” jelasnya.

Nasihatnya lagi, peserta seminar pula tidak perlu lagi memanjangkan emosi salah apabila pihak luar mengkritik idea Kerajaan Perpaduan yang mahu dilaksanakan PAS sebelum ini.

“Ada (peserta seminar) mendakwa Presiden kita (Tuan Guru Abdul Hadi Awang) mahu masuk Umno, sedangkan peserta tidak mendakwa begitu…rakyat sebenarnya tidak mahu parti (PAS) diheret pada Kerajaan Perpaduan bersama Umno. Sebab itu, isu Kerajaan Perpaduan perlu diperjelas secara inteletual, bukan emosi,” tegasnya.

“PAS sepatutnya ke arah sistem dua parti dengan memperkukuhkan Pakatan…soal-olah mengelirukan garis perbezaan antara (idea) Kerajaan Perpaduan dengan (sistem) dua parti itu (PR dan Barisan Nasional) perlu diperjelaskan.”

Sebaliknya, PAS perlu menganggap segala kritikan oleh Pakar Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM) Profesor Dr. Abdul Aziz Bari dan Pengasan Pengajian Masa Depan dari Universiti Malaya (UM) Dr. Abu Hassan Hasbullah sebagai sesuatu yang berniat baik untuk servival politik PAS kelak.

“Bagi saya, mereka berdua (Profesor Dr. Abdul Aziz Bari dan Dr. Abu Hassan Hasbullah) adalah gandingan yang cukup cantik untuk membantu PAS. Walau mereka bukan ahli PAS…saya lihat segala kritikan mereka sebenarnya berniat baik untuk melihat PAS terus dipersada politik nasional,” jelasnya

“Dr. Aziz sendiri kata di Malaysia ini tidak ada parti Islam untuk umat Melayu jadikan wadah kecuali PAS. Maknanya, kritikannya mahu lihat PAS lebih baik dari apa yang ada sekarang.”

“Dr. Abu Hassan juga begitu. Dia minta PAS jangan berfikiran primitif dengan mengetepikan persepsi umum rakyat kerana ini (persepsi) adalah soal mandat dan kepercayaan rakyat.”

Beliau turut mengkritik segelintir peserta seminar yang membalas kritikan kedua-dua panelis jemputan tersebut secara emosional, semalam.

“Jadi, tidak perlulah dicabar-cabar secara emosi (agar) kedua-dua ahli akademik itu turun padang menjadi ahli politik kerana analisis dan memberikan perspektif adalah kegiatan mereka…kalau berjumpa doktor, janganlah dimarah pula ( (atau) dipertikai bila Doktor beritahu kita (bahawa) ada (mengidap) kencing manis,” ujarnya.

Selain memperkatakan soal Pelan Kemenangan PR, Resolusi seminar semalam turut menyentuh soal memperkukuh semangat setiakawan bersama dalam kalangan pemimpin PR di peringkat Kawasan dengan Kerajaan Negeri PR.

Resolusi seminar tersebut juga menjelaskan bahawa PAS bertegas menutup sepenuhnya pintu rundingan bersama Umno melalui idea Kerajaan Perpaduan, serta akan turun padang menjelaskan komitmen tersebut di setiap peringkat secepat mungkin.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang lain Datuk Husam Musa beberapa hari lepas turut mencadangkan suatu Pelan Kemenangan PRU13 dibentangkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Disember depan.

Cadangan itu, demi mengeluarkan PAS dari kemelut Kerajaan Perpaduan, di samping berusaha memperkukuh PR.

Seminar semalam merupakan keputusan susulan menggantikan Muktamar Agong PAS (EGM), sebagaimana yang dinasihatkan oleh Mursyidul Amnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat demi menyingkirkan beberapa individu yang dianggapnya bermasalah pada PAS dan PR.

Dengan resolusi seminar semalam, banyak pihak beranggapan persepsi rakyat terhadap iltizam politik PAS kembali fokus bersama PR.

Sekali gus, ianya menyekat usaha Umno seperti sebelum ini yang mahu memecahbelahkan muafakat parti-parti dalam PR sebelum menjelangnya PRU13 kelak. -END